PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2025 menegaskan keutamaan strategi pengukuhan ekonomi negara bagi meningkatkan daya saing, merancakkan pertumbuhan, serta memastikan agenda kesejahteraan rakyat terus menjadi teras utama pentadbiran.
Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana itu turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg bersama delegasi negeri, selain dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Pimpinan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menilai pencapaian semasa kerajaan melalui Kajian Separuh Penggal yang kini sedang disemak di peringkat Jemaah Menteri.
“Fokus utama adalah meneliti pencapaian, mengambil kira teguran terhadap pentadbiran serta memperkukuh usaha memantapkan ekonomi negara di samping memastikan program kesejahteraan rakyat berada pada landasan yang tepat,” katanya.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan peranan strategik Sarawak sebagai tuan rumah beberapa acara bertaraf ASEAN dan isu-isu sempadan yang berkait rapat dengan aspek keselamatan, geopolitik dan perdagangan rentas sempadan.
Dengan platform ini, setiap keputusan Jemaah Menteri akan terus dibentangkan dan dirunding bersama bagi memastikan penyelarasan dasar serta keharmonian dalam kepelbagaian parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Baca juga: