Kerajaan Peruntuk RM850,000 Laksana Program Denai Sungai Kebangsaan Di Pahang

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM850,000 bagi pelaksanaan Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Pahang sebagai usaha memelihara sungai dan alam sekitar.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaksanaan DSK dilakukan secara berperingkat dengan berpandukan prinsip kelestarian serta penglibatan komuniti.

“Program ini bukan sekadar menaik taraf denai sungai tetapi juga membina kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara sungai untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menekankan kepentingan pengiktirafan kepada komuniti setempat termasuk melalui Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) yang diberikan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Malim atas usaha menjaga kelestarian sumber air dan sungai.

“Pelaksanaan denai sepanjang 450 meter ini bermula pada 16 April dan siap sepenuhnya pada 11 Jun 2025.

“Denai ini dijangka menarik sehingga 2,000 pengunjung sebulan dan membuka ruang kepada aktiviti komuniti serta eko-pelancongan.

“Melalui program ini, kita ingin menggalakkan masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam memulihara sungai, mengurangkan pencemaran dan memanfaatkan sumber alam secara lestari,” katanya lagi.

Selain itu katanya, Projek Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting di Mukim Pelangai, Bentong turut diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang sebagai sebahagian usaha memulihara ekosistem sungai.

Program DSK ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina negara yang sejahtera, inklusif dan berteraskan nilai ihsan terhadap alam.

Anda Mungkin Berminat