Kerajaan Salur RM2 Juta Perkasa Akademi Sepak Takraw Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi memperkasa kemudahan latihan dan pembangunan sukan sepak takraw negara.

Beliau berkata, dana tersebut akan digunakan untuk meningkatkan utiliti latihan, menambah baik keselesaan akademi serta memperkukuh peranan persatuan dalam melahirkan bakat baharu.

“Sebagai tanda sokongan berterusan, saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi memperkasa utiliti latihan serta meningkatkan keselesaan akademi,” katanya selepas merasmikan Akademi Sepak Takraw Malaysia, pada Selasa.

Menurut beliau, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan sukan warisan negara terus diperkukuh secara menyeluruh.

“Kerajaan akan memastikan kompleks ini menjadi titik tolak kepada era kebangkitan baharu sepak takraw negara,” katanya.

Anwar berkata, kemudahan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai pusat latihan, malah menjadi platform penting dalam membentuk generasi atlet muda yang berdisiplin dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Sepak takraw bukan sekadar permainan tetapi merupakan identiti bangsa yang telah lama mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan muda agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan untuk mengasah bakat dan membina jati diri.

“Gunakan peluang ini sebaiknya untuk melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang tetapi juga berjiwa besar dalam membawa maruah negara,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat