PETALING JAYA: Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk terus menyelamatkan dan menjaga rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat insiden atau konflik global.
Sebagai bukti, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni seorang rakyat Malaysia, Muhammad Kamal Idhamuddin Kamal Arifin yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, UAE bersama kru Kapal Berkat Tuah sejak tujuh bulan lalu sebelum berjaya diselamatkan.
“Dipertemukan dengan saudara Muhammad Kamal Idhamuddin Kamal Arifin, salah seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, UAE bersama rakan-rakan kru Kapal Berkat Tuah sejak tujuh bulan lalu, benar-benar menyentuh hati dan nurani,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Perdana Menteri turut merakamkan rasa syukur kerana hasil kerjasama erat antara Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di UAE serta agensi-agensi berkaitan, Kamal bersama rakan-rakannya akhirnya dibawa pulang dengan selamat ke tanah air.
“Alhamdulillah, dengan ikhtiar berterusan serta kerjasama erat Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di UAE dan agensi berkaitan, beliau bersama rakan-rakan akhirnya dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Anwar berkata, kebajikan rakyat Malaysia, walau di mana mereka berada tetap menjadi amanah utama kerajaan.
“Kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia, walau di mana jua mereka berada, kekal menjadi amanah dan keutamaan Kerajaan MADANI,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Kamal dan seluruh kru Kapal Berkat Tuah diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.








