Kerajaan tak kompromi standard halal Malaysia – Menteri

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Kerajaan Malaysia menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak akan berkompromi terhadap standard halal negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Na’im Mokhtar berkata, berdasarkan Perkara 2.5, Perjanjian ART Malaysia-Amerika Syarikat 2025 ini, menyatakan bahawa mana-mana badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat, tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur, syariah, dan standard halal Malaysia.

“Ia hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf oleh JAKIM bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan.

“Namun, semua proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir berada sepenuhnya di bawah kawalan Jakim”, katanya.

Beliau berkata demikian, ketika menyampaikan penggulungan perbahasan belanjawan 2026 di Sidang Parlimen, Dewan Rakyat pada Rabu.

Nai’m menegaskan, sebarang badan pensijilan halal luar negara yang ingin mengekalkan status pengiktirafan oleh JAKIM mesti mematuhi sepenuhnya semua keperluan Malaysia.

“Termasuk aspek syariah, keselamatan, kebersihan dan prosedur audit tanpa sebarang pengecualian pengiktirafan terhadap sijil halal dari Amerika Syarikat (AS) tidak bermaksud kelonggaran standard halal Malaysia.

“Sebaliknya, ia hanya mempercepat urusan pentadbiran bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.

“Semua produk import tetap tertakluk kepada audit JAKIM, pemantauan berkala, serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011, bagi menjamin integriti dan ketelusan sistem halal negara,” ujarnya.

Justeru katanya, JAKIM akan memastikan bahawa standard pensijilan halal Malaysia kekal utuh dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

Pada masa yang sama, JAKIM turut mengambil perhatian penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) pada 4 November 2025 berhubung penggunaan istilah dan pengiktirafan ‘Muslim Choice’.

Katanya, sebarang penggunaan apa-apa logo, perakuan atau sebarang pernyataan yang membawa maksud ‘Muslim Choice’ atau mana-mana istilah, ungkapan, perihal, representasi, promosi atau seumpamanya yang boleh mengelirukan pengguna serta membawa maksud halal adalah bersalahan dengan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat