KLANG: Kerajaan sentiasa meneliti kaedah terbaik bagi menambah baik pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) supaya matlamat membantu golongan kurang berkemampuan dapat dicapai dengan lebih berkesan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara usaha yang sedang dipertimbangkan ialah memperluaskan jaringan kedai terlibat, khususnya kedai-kedai kecil, bagi memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian.
Selain itu, beliau berkata lebih banyak produk akan dimasukkan ke dalam senarai SARA, termasuk barangan tempatan, bagi memberi lebih banyak pilihan kepada penerima bantuan.
“Sebelum ini hanya barangan asas ditawarkan. Kemudian kita perluaskan kepada barangan kegunaan lain seperti ubat gigi dan sebagainya.
“Namun apabila kita menambah baik dan memperluaskan jaringan kedai, kita juga perlu memastikan pemantauan yang rapi supaya bantuan ini benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berharap tidak timbul lagi isu pemohon mengemukakan maklumat tidak tepat dalam permohonan bantuan kerajaan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Saya berharap isu seperti ini tidak kerap berlaku, namun sekiranya kerajaan mendapati terdapat permohonan yang dibuat secara tidak sepatutnya, tindakan penarikan balik bantuan akan diambil,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan kes seorang individu yang layak menerima STR walaupun hasil sewaan enam buah rumah miliknya menyebabkan pendapatannya melebihi had kelayakan.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam kenyataan pada 14 Januari lalu menegaskan bahawa kerajaan berhak menarik balik sebarang bantuan, termasuk STR, sekiranya pemohon didapati mengemukakan maklumat yang tidak tepat.
Baca juga:








