Kerajaan tegas urus isu kedaulatan – Azalina

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN: Pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap pengurusan isu kedaulatan negara secara cekap dan berintegriti, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau menjelaskan, komitmen kerajaan membawa usul membahaskan RCI bagi mengkaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan membolehkan kerajaan mengambil langkah terbaik untuk menangani isu-isu tersebut secara holistik dan berkesan.

Antara isu utama yang dikenal pasti adalah kepincangan dalam pengendalian kes serta keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan tafsiran tanpa penelitian menyeluruh.

“Suruhanjaya telah mengesyorkan tindakan bagi menangani isu ini secara menyeluruh,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Azalina turut menyatakan bahawa perbahasan itu penting untuk mendokong ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri dalam memastikan isu kedaulatan negara diberi perhatian serius.

“Beliau (Perdana Menteri) menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan kedaulatan negara mesti dilaksanakan mengikut undang-undang yang perlu dihormati,” katanya.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat