Kerajaan tekad tingkat tahap kebebasan media menjadi lebih mapan

Kementerian Komunikasi bakal mengambil tindakan dengan merangka usaha yang lebih mapan dalam usahanya mengangkat kembali kebebasan media.

Menterinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka laporan indeks dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang meletakkan Malaysia di tangga ke-107 Indeks Kebebasan Media.

“Saya terima laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) RSF ini dengan hati terbuka.

“Banyak yang perlu dimuhasabah dalam mengimbangi usaha menjamin kebebasan media dan pada masa yang sama melawan fitnah serta penyebaran maklumat palsu.

“Insya-ALLAH, saya dan pasukan akan menghadam laporan ini serta merangka usaha-usaha yang lebih mapan ke depan,” katanya menerusi satu ciapan di platform X pada Jumaat.

Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia merosot kepada 52.07 mata berbanding 2023 yang mencatatkan sebanyak 62.83 mata.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Malaysia di kedudukan ke-73 daripada 180 negara pada 2023, meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu di tangga ke-133.

Pada Mac lalu, Fahmi Fadzil berkata, satu pertemuan telah diadakan dengan RSF, bagi membincangkan antara lain penjelasan Kod Etika Kewartawanan Malaysia oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI), kad perakuan media serta beberapa cadangan kerjasama di masa hadapan, untuk meningkatkan tahap kebebasan media di Malaysia.

Beliau berkata, RSF juga memaklumkan salah satu masalah besar yang melanda dunia ialah sebaran berita dan maklumat palsu.

Anda Mungkin Berminat