PUTRAJAYA: Cadangan pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam dan swasta akan diteliti terlebih dahulu sebelum dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas esok (Jumaat), kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan berkata, kerajaan menyedari sebahagian syarikat telah mengamalkan kaedah kerja hibrid selepas pandemik.
“Di pihak kerajaan, kita akan meneliti kesesuaian WFH ini, mungkin akan dibincangkan esok (Jumaat) dalam mesyuarat khas.
“Mula-mula kita akan teliti keadaan ekonomi dunia, angka-angka semasa dan tindakan yang sesuai,” katanya dipetik RTM.
Beliau mengulas langkah Thailand yang melaksanakan WFH bagi agensi kerajaan dan perusahaan negeri untuk mengurangkan penggunaan tenaga, susulan ketegangan geopolitik yang berlarutan di Asia Barat.
Menurut Fahmi, mesyuarat khas itu diadakan bagi menyelaras tindakan kerajaan berdasarkan maklumat ekonomi terkini termasuk perkembangan harga minyak mentah Brent, bahan api penerbangan serta beberapa indikator lain.
“Dengan maklumat terkini ini, kita akan dapat selaraskan tindakan kerajaan termasuk mengawal dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu,” katanya.
Fahmi turut berkata, kerajaan akan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus diberi sokongan kerana sektor itu merupakan nadi ekonomi negara.
“Kita tidak mahu ambil tindakan tanpa mengetahui kesannya.
“Kita tidak mahu merencatkan pertumbuhan,” katanya sambil menekankan bahawa bekalan barangan asas dan bahan api seperti RON95 ketika ini mencukupi.
Ketegangan di Asia Barat memuncak sejak 28 Februari apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, yang kemudian mencetuskan tindakan balas Iran terhadap kepentingan AS di rantau tersebut.








