Kerajaan tepis dakwaan tutup pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial kononnya kerajaan bakal mengarahkan penutupan pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.

Beliau menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar, berniat jahat malah bersifat fitnah, serta disebarkan tanpa sebarang sumber rasmi yang sahih.

“Amat ketara perbuatan tidak bermoral dan memfitnah ini kerana ia tular tanpa menyatakan sebarang sumber yang sahih atau rasmi.

“Tindakan menyebarkan tuduhan tidak berasas, terutama yang melibatkan isu sensitif seperti institusi agama, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada lewat Khamis malam.

Dr Mohd Na’im turut menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberikan sokongan penuh terhadapinstitusi pendidikan Islam, termasuk sekolah pondok, madrasah dan tahfiz, sebagai tunjang utama pembangunan Malaysia Madani.

Kata beliau, pihak berkuasa agama kini sedang menambah baik sistem pendaftaran dan penarafan institusi pendidikan Islam bagi memastikan kebajikan pelajar, keselamatan, kesihatan serta kualiti pengajian agama sentiasa terpelihara dan diiktiraf.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu atau fitnah yang boleh menjejaskan imej institusi Islam serta menimbulkan kekeliruan masyarakat.

“Sebarang maklumat sahih mengenai dasar atau keputusan rasmi hanya akan disalurkan melalui saluran rasmi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi berkaitan,” ujarnya.

Justeru, beliau mengajak masyarakat untuk memelihara maruah institusi pondok dan pendidikan Islam serta menolak segala bentuk fitnah yang boleh menjejaskan perpaduan umat Islam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat