WASHINGTON D.C: Presiden Trump telah memulakan satu lagi pertikaian perdagangan dengan Kanada, kali ini berhubung import kayu.
Pada hari Sabtu, beliau telah melancarkan satu penyiasatan untuk menentukan sama ada import kayu mengancam keselamatan negara Amerika Syarikat (AS) yang kemungkinan akan memperburuk hubungan dengan Kanada sebagai pengeksport kayu terbesar ke Amerika Syarikat.
Memetik laporan The New York Times, Trump dilaporkan telah mengarahkan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick untuk menjalankan penyiasatan itu.
Menurutnya, hasil penyiasatan itu mungkin membolehkan presiden mengenakan tarif ke atas import kayu. Namun, seorang pegawai White House enggan menyatakan berapa lama penyiasatan itu akan mengambil masa.
Dalam memorandum eksekutif yang ditandatangani oleh Trump, penyiasatan itu diiringi dengan satu dokumen lain yang menurut pegawai White House akan meningkatkan jumlah kayu yang ditawarkan untuk dijual setiap tahun.
Langkah itu bertujuan untuk meningkatkan bekalan dan membantu memastikan harga kayu tidak naik.
Penyiasatan perdagangan itu dijangka akan lebih membangkitkan kemarahan Kanada.
Beberapa rakyat Kanada telah menyeru agar memboikot produk AS berikutan rancangan Trump untuk mengenakan tarif ke atas semua barangan import Kanada bermula pada hari Selasa.
Trump juga merancang untuk mengenakan tarif yang sama ke atas Mexico dengan mengatakan bahawa levi tersebut adalah hukuman kerana gagal menghentikan aliran dadah dan pendatang ke AS.
Kanada dan AS telah bertelagah mengenai perlindungan dalam industri kayu selama beberapa dekad.
Kedua-dua negara telah melindungi industri mereka dengan tarif dan langkah perdagangan lain serta berdebat mengenai kesahihan langkah-langkah tersebut dalam pertikaian di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara dan di Pertubuhan Perdagangan Dunia.
Menurut statistik Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS, Kanada menyediakan $28 bilion kayu kepada Amerika Syarikat pada tahun 2021 atau hampir separuh daripada semua import kayu AS.
Selain Kanada, sumber import kayu utama lain termasuk China, Brazil,dan Mexico.
Amerika Syarikat juga mengeksport hampir $10 bilion kayu ke Kanada pada tahun yang sama serta $6.5 bilion ke Mexico.