Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) Ke-28 yang akan berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober 2024 di The Ritz-Carlton, Millenia Singapura.
Mesyuarat berkenaan membincangkan isu-isu kerjasama serantau berlandaskan Misi Strategik KESUMA 3K iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan.
“Antara isu-isu yang diketengahkan termasuklah kerjasama serantau dalam peningkatan kemahiran pekerja untuk berhadapan cabaran ekonomi abad ke-21, kesan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta ekonomi hijau ke atas pasaran kerja dan keselamatan sosial pekerja, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, ekonomi gig dan juga pekerja migran,” kata Steven dalam satu kenyataan hari ini.
Steven turut dijadualkan untuk menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN +3 (ALMM+3) kali ke-3 pada Khamis, yang akan disertai oleh wakil dari negara gergasi ekonomi Asia iaitu China, Jepun, dan Korea Selatan.
“Saya turut menyertai Mesyuarat Dua Hala Bersama Menteri-Menteri Negara ASEAN bagi merapatkan hubungan kerjasama dengan negara-negara tetangga Malaysia,” tambahnya.
Terdahulu, Steven meluangkan masa menghadiri sesi dialog bersama diaspora Malaysia anjuran Talent Corporation pada Selasa.
Sesi tersebut bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan bakat-bakat rakyat Malaysia di luar negara, selain mendengar cadangan dan pandangan keluarga besar Malaysia di sana.
Baca juga: