PETALING JAYA: Sisatan terhadap kes serangan asid ke atas pemain kebangsaan, Faisal Halim diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) daripada pihak berkuasa.
Hal tersebut disampaikan peguam mewakili penyerang sayap Selangor FC berkenaan, Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co.
Mengulas lanjut, peguam yang mewakili Faisal Halim, Nik Zarith Nik Moustpha berkata, perkara berkenaan dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi satu surat bertarikh pada 18 Februari 2025.
“Kami telah menerima satu surat daripada AGC di mana pihak kami dimaklumkan kes ini sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Surat tersebut juga menyatakan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu atau suspek dan segala usaha yang telah dijalankan bagi tujuan tersebut tidak membuahkan hasil.
“Ternyata anak guam kami (Faisal Halim) berasa kecewa dengan hasil keputusan siasatan tersebut dan kami akan teruskan perbincangan dengan beliau untuk menentukan langkah-langkah yang seterusnya,” katanya dalam satu sidang media di Kajang, Selangor pada Khamis.
Tambah beliau, sepanjang tempoh siasatan kes, pihaknya telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya termasuk menghantar beberapa surat kepada pihak berkuasa.
Antaranya surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Menteri Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri dan AGC untuk menggesa agar siasatan kes ini dipantau dan diberi kepentingan sewajarnya, jelas Nik Zarith.
Mengulas lanjut, Nik Zarith berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Peguam Negara pada 15 April lalu yang menggesa kes pemain Harimau Malaya itu dibuka semula.
“Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak agar kes itu tidak ditutup sekiranya terdapat perkembangan baharu siasatan,” tambahnya,
Tegas beliau, langkah itu juga agar dapat memberi keadilan kepada Faisal sebagai mangsa.
Serangan tragis terhadap Faisal Halim itu berlaku pada 5 Mei 2024 di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, di mana Faisal disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
Akibat serangan tersebut, beliau mengalami melecur tahap empat pada wajah, tangan dan badan, serta menjalani empat pembedahan sebelum pulih dan kembali beraksi bersama Selangor FC serta skuad Harimau Malaya.
Baca juga: