Keselamatan tanggungjawab bersama, bukan pihak berkuasa sahaja – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa keselamatan negara bukan hanya terletak pada bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh rakyat.

Beliau berkata, landskap ancaman kini semakin kompleks, canggih dan dinamik, sekali gus memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Soal keselamatan bukan tanggungjawab eksklusif pihak berkuasa semata-mata. Ia tanggungjawab kita semua, sama ada penjawat awam, mahasiswa, masyarakat sivil mahupun rakyat biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Bicara INTAN Minister’s Conversation (IMC) 2025 yang diadakan di Auditorium INTAN Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Menurutnya, program seperti itu menjadi medan strategik untuk menteri menyampaikan secara langsung dasar kerajaan kepada penjawat awam, selain membuka ruang kepada suara anak muda.

“Kali ini, pelajar universiti turut hadir, menunjukkan betapa pentingnya generasi muda diberi ruang dan suara dalam perbincangan dasar bersifat nasional,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif keselamatan yang sedang digerakkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), antaranya pelaksanaan sistem Kod QR di pintu masuk negara, penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), pendekatan membanteras ekstremisme, isu dadah rentas sempadan serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Saya tegaskan, dalam hal keselamatan, kita tidak ada ruang untuk kompromi,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat