KESUMA Lancar Pusat Sehenti, Pejabat HRD Corp Sabah

KOTA KINABALU: Sabah melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan apabila Pusat Sehenti Tenaga Kerja dan Pejabat baharu HRD Corp Sabah dirasmikan hari ini oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Inisiatif strategik oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu menyatukan 14 agensi dan jabatan di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan urusan rakyat berkaitan tenaga kerja, latihan, kebajikan dan keselamatan pekerjaan.

Menurut Sim, pendekatan bersepadu itu dilihat sebagai langkah proaktif dalam mempercepatkan akses kepada perkhidmatan awam yang lebih efisien dan inklusif.

“Pendekatan ini membolehkan rakyat berurusan dalam satu lokasi tanpa perlu bergerak ke banyak tempat, menjimatkan masa, kos dan tenaga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Pusat Sehenti itu menempatkan pelbagai agensi utama seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Mahkamah Perusahaan, PERKESO, HRD Corp dan lain-lain, yang berperanan memberikan sokongan menyeluruh kepada rakyat dalam pelbagai aspek berkaitan pekerjaan dan pembangunan kemahiran.

Majlis pelancaran turut menyaksikan pembukaan Pejabat HRD Corp Sabah yang baharu, lengkap dengan kemudahan latihan moden seperti bilik mesyuarat, ruang interaktif dan fasiliti digital yang direka khas untuk kegunaan majikan serta komuniti tempatan.

Kemudahan itu dijangka menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan kecekapan tenaga kerja di Sabah, selain melahirkan pekerja yang lebih berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri semasa.

“Semua ini adalah manifestasi kepada semangat Malaysia MADANI membina negara yang lebih adil, sejahtera dan inklusif, tanpa meninggalkan mana-mana rakyat di belakang,” jelas beliau lagi.

Penubuhan pusat itu turut menyokong agenda Sabah Maju Jaya dan Pelan Ekonomi MADANI, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan awam berkualiti tinggi khususnya di luar Lembah Klang.

Ia juga mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan pembangunan modal insan tidak terhad kepada kawasan bandar, tetapi turut merangkumi seluruh pelosok negeri.

Anda Mungkin Berminat