BANGKOK: Ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja kini memuncak apabila enam jet pejuang F‑16 milik Tentera Udara Diraja Thailand dikerahkan susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara yang berlaku di kawasan Chong Anma, Daerah Nam Yuen, Wilayah Ubon Ratchathani.
Menurut kenyataan rasmi daripada Wilayah Tentera Kedua Thailand, jet F‑16 telah melancarkan serangan udara ke atas ibu pejabat Divisyen Ke-8 dan Ke-9 Tentera Kemboja yang didakwa berjaya dimusnahkan.
Ini merupakan tindakan balas terhadap serangan roket BM-21 dari pihak Kemboja yang mengenai kawasan awam Thailand termasuk hospital.
Serangan rentas sempadan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang awam Thailand dan mencederakan lebih 14 orang lagi.
Akibat keganasan yang berterusan, lebih 40,000 penduduk tempatan terpaksa dipindahkan dari zon konflik.
Media tempatan Thailand turut mendakwa terdapat mesej provokatif bertulis “Hello Hun Sen” merujuk kepada bekas Perdana Menteri Kemboja yang dikatakan tertera pada bom yang digunakan semasa serangan.
Setakat ini, dakwaan tersebut belum disahkan oleh mana-mana sumber antarabangsa dan dipercayai mungkin merupakan taktik propaganda perang.
Situasi tegang ini turut membawa implikasi diplomatik yang serius.
Kedua-dua negara telah memanggil pulang pegawai diplomatik masing-masing dan menurunkan tahap hubungan diplomatik.
Kerajaan Kemboja telah mengemukakan permintaan rasmi untuk mengadakan sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kemboja juga telah mengaktifkan semula sistem kerahan tentera nasional.
Untuk rekod, kawasan sempadan antara kedua-dua negara ini telah lama menjadi titik pertikaian, termasuk lokasi bersejarah seperti Kuil Preah Vihear dan Ta Muen Thom.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa pernah memutuskan isu pemilikan pada tahun 1962, namun pertikaian di lapangan terus berlarutan dengan beberapa insiden ketenteraan berlaku sejak 2008, dan kini kembali memuncak sejak Mei 2025.
Baca juga:








