KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman, digesa membentangkan pelan reformasi yang jelas bagi memperkukuh integriti serta kebebasan agensi itu.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, langkah tersebut amat penting untuk memulihkan keyakinan awam terhadap SPRM.
“Beliau (Halim) perlu menggariskan visi serta pelan tindakan yang jelas bagi melaksanakan reformasi dalam SPRM,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Gobind, keutamaan awal kepimpinan baharu adalah menangani isu-isu berbangkit yang menjejaskan kredibiliti agensi berkenaan.
“Dakwaan membabitkan ‘mafia korporat’ perlu disiasat secara telus tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan kepimpinan terdahulu tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Perkara ini perlu diselesaikan segera supaya kepimpinan baharu tidak dibayangi isu lama,” katanya lagi.
Gobind berkata, langkah awal yang diambil oleh Abdul Halim akan menentukan hala tuju institusi itu.
“Ketelusan dan akauntabiliti mesti menjadi asas bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap SPRM,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua SPRM baharu sesuai dengan kriteria dan kredibiliti bekas hakim itu, sekali gus menguatkan usaha kerajaan dalam membasmi penyalahgunaan kuasa dan rasuah.








