Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Pas Kelantan didakwa semakin melampau dan terdesak apabila institusi pondok yang selama ini dikenali sebagai pusat ilmu dan tarbiah kini diheret ke gelanggang politik kepartian.
Dakwaan itu timbul susulan tindakan menamatkan kontrak serta memindahkan beberapa tokoh utama pengurusan pondok di negeri tersebut.
Antara yang terkesan ialah Tuan Guru Syeikh Wazi A. Maki dan Tuan Syeikh Aziz Che Man, Mudir Pondok Moden Kandis, Bachok Kelantan.
Difahamkan, kontrak keduanya ditamatkan dan ditukar ke institusi lain kerana didakwa mesra terhadap Kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Syeikh Wazi A. Maki, atau lebih dikenali sebagai Syeikh Wazir Al Makki, merupakan seorang ulama tersohor Kelantan.
Beliau juga Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan serta Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan.
Tindakan tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelajar dan warga pondok yang melihatnya sebagai bentuk campur tangan politik terhadap institusi pendidikan Islam tradisional yang selama ini berdiri bebas daripada pengaruh kepartian.
Menurut kenyataan pihak pondok dalam satu rakaman video, sepanjang kepimpinan mudir sedia ada, Pondok Moden Kandis berada dalam keadaan stabil, terurus dan mengekalkan suasana pengajian yang harmoni.
Menurutnya, hubungan antara guru dan pelajar juga dilaporkan berjalan dengan baik tanpa sebarang konflik besar.
Untuk rekod, syeikh berkenaan merupakan bekas pelajar institusi tersebut dan pernah berkhidmat hampir 12 tahun sebelum dipertanggungjawabkan sebagai mudir.
“Beliau (Syeikh Wazir Al Makki) bukan sahaja diterima dengan baik oleh warga Pondok termasuk para guru dan pelajar.
“Malah perhatikan beliau juga diterima oleh masyarakat setempat dan Pondok-Pondok tradisional di sekitar negeri Kelantan yang melihat beliau sebagai sosok yang memahami warisan ilmu, dekat dengan masyarakat dan mampu menjaga hubungan erat antara institusi Pondok dan masyarakat setempat.
“Oleh itu kami bimbang sekiranya berlaku peralihan Syeikh Pondok secara mendadak tanpa alasan yang munasabah ia berpotensi mengganggu kestabilan pentadbiran, menjejas tumpuan pelajar terhadap pengajian serta memutuskan kesinambungan pendekatan tarbiah yang telah lama berjalan dengan baik,” katanya.
Dalam masa sama, timbul pula khabar angin bahawa seorang lagi guru kanan, Abu Yah Syeikh Wazir Cik Awang, berkemungkinan besar tidak akan disambung perkhidmatan.
Beliau dikenali sebagai guru lama yang rapat dengan pelajar serta disayangi kerana pendekatan tarbiah yang lembut dan ikhlas.
Sehubungan itu, rayuan dikemukakan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) agar menimbang semula sebarang keputusan dengan mengambil kira kepentingan jangka panjang institusi pondok termasuk kestabilan, kemaslahatan serta keberkatan ilmu.
Dalam masa sama, pihak terlibat turut memohon perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, agar permasalahan ini diberikan penelitian sewajarnya demi memastikan institusi pondok terus berfungsi sebagai benteng ilmu, akidah dan tradisi Islam di negeri itu.








