Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Penjawat Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut tidak terlepas dikenakan kompaun setelah didapati merokok di sebuah premis makanan di Rawang pada baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh KKM menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya pada Isnin, yang turut berkata tindakan itu diambil susulan tularnya video kejadian tersebut di media sosial pada 23 Mac lalu.
KKM berkata, pihaknya mendapati individu terbabit merupakan seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak dan telah dikenakan kompaun mengikut Seksyen 16(2) Akta 852 kerana merokok di kawasan yang dilarang.
“Tindakan kompaun telah pun dikeluarkan kepada individu tersebut di bawah Seksyen 16(2) (No. 4: merokok di tempat makan) Akta 852,” katanya.
Bukan itu sahaja, tindakan tatatertib dalaman juga akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan awam.
Tegasnya, premis makanan adalah antara kawasan yang diwartakan sebagai larangan merokok, dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.
Orang ramai juga digalakkan untuk melaporkan sebarang kejadian serupa kepada pihak berkuasa bagi memperkukuh penguatkuasaan serta melindungi kesihatan awam.
Baca juga:








