Oleh: Haikal tajuddin
PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan peruntukan RM477 juta bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas kritikal di daerah Mersing.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peruntukan itu bakal diselaraskan menerusi tiga projek jalan raya melibatkan pembinaan dua jalan baharu dan menaik taraf satu jalan sedia ada.
“Kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan, iaitu sebanyak lapan projek telah diluluskan bagi tahun 2025. Ia melibatkan tujuh kerja penyelenggaraan Berkala Pavemen (BP) dan satu kerja penyelenggaraan Berkala Bukan Pavemen (BBP) dengan nilai keseluruhan RM7.2 juta.
“Bagi jalan negeri pula, sebanyak lapan kerja penyelenggaraan bernilai RM3.75 juta telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2025.
“Tindakan ini adalah langkah terbaik untuk mengatasi isu kesesakan lalu lintas di bandar Mersing dan meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya,” jelasnya pada Isnin.
Langkah ini sejajar dengan slogan ‘Pelanggan Diutamakan, Janji Dikotakan’ dan selari dengan Hala Tuju KKR 2025 dalam meningkatkan prestasi pembangunan serta penyenggaraan infrastruktur negara ke arah ‘Sifar Projek Sakit’.
Sebagai info, pada tahun lalu, JKR Daerah Mersing telah berjaya menyerahkan 10 projek siap dengan kos keseluruhan RM2.9 juta.
Ia meliputi satu projek pembinaan pembangunan dan sembilan projek penyelenggaraan bangunan.
Sebanyak 52 projek penyelenggaraan telah dilaksanakan bagi bernilai RM20.31 juta di bawah kontrak Federal Road Maintenance (FRM), merangkumi 18 kerja penyelenggaraan Berkala Pavemen (BP) berjumlah RM10.29 juta serta 34 kerja penyelenggaraan Berkala Bukan Pavemen (BBP) bernilai RM10.02 juta.
Baca juga: