KL bakal dapat Datuk Bandar wanita pertama?

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Bandaraya Kuala Lumpur dijangka mendapat Datuk Bandar Wanita pertama dalam waktu terdekat.

Spekulasi kini bertiup kencang apabila penyandang kini, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh dijangka akan tamat tempoh khidmat pada 14 Ogos ini.

Antara nama yang disebut bagi mengantikan Kamarulzaman adalah Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif. Jika ini menjadi realiti, Maimunah akan mencipta sejarah di mana beliau akan menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Menurut sumber terdekat, 15 Ogos adalah hari lahir Datuk Bandar sekarang dan memang masa untuk beliau bersara.

Tetapi sama ada tempoh khidmat tersebut dilanjutkan atau tidak, belum tahu lagi. Kerana ada Datuk Bandar sebelum ini sudah bersara, tetapi dilanjutkan khidmat satu minggu lagi.

“Mengenai laporan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif itu saya tidak pasti, mungkin nama beliau ada dicalonkan,” kata sumber.

Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh

Dalam pada itu, memetik laporan The Star, idea Datuk Bandar wanita bukanlah perkara baru, kerana majlis bandaran lain di Malaysia telah mempunyai wanita dalam peranan ini sebelum ini.

Pada 2012, Datin Paduka Alinah Ahmad menjadi Datuk Bandar wanita pertama di Malaysia apabila dilantik mengetuai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Awal tahun ini, Datin Paduka Noraini Roslan dilantik sebagai Datuk Bandar Klang (MBDK), berikutan peningkatannya kepada bandar diraja.

Maimunah ialah bekas pengarah eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), kini merupakan Duta Khas Malaysia mengenai Pembandaran Lestari, yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Maimunah memegang jawatan pengarah eksekutif UN-Habitat dari 2018, yang berpangkalan di Nairobi, Kenya dan pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dari 1 Julai 2017 hingga 19 Januari 2018.

Sebelum itu, beliau adalah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), wanita pertama pernah memegang jawatan itu.

Antara nama lain yang disebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) semasa Datuk Fadlun Mak Ujud dan Pengarah Pengurusan Pembangunan Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Nor Muhamad Che Dan.

Anda Mungkin Berminat