KUALA LUMPUR: Ibu negara Malaysia bersiap sedia menghadapi perubahan demografi yang besar apabila dijangka menjadi bandar pertama di negara ini memasuki fasa masyarakat menua menjelang tahun 2031.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, unjuran Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa 15 peratus penduduk Kuala Lumpur akan berumur 60 tahun ke atas menjelang 2031, menandakan peralihan rasmi ke status ‘ageing society’.
Katanya, fasa itu bukan sekadar statistik, ia membawa implikasi besar terhadap sistem kesihatan awam dan penjagaan warga emas, perumahan mesra OKU dan warga emas, mobiliti bandar dan akses kemudahan awam serta dasar ekonomi dan tenaga kerja.
“Menjelang 2040, populasi Kuala Lumpur dijangka mencecah 2.35 juta orang dengan keperluan 783,000 unit rumah baharu.
“Daripada jumlah itu, 40 peratus perlu terdiri daripada rumah mampu milik dan inklusif khusus untuk golongan B40, belia, OKU dan warga emas,” katanya.
Menurut Dr Zaliha, walaupun ada cadangan untuk menghentikan projek perumahan baharu, kerajaan menolak idea moratorium.
“Moratorium bukan penyelesaian. Ia boleh menjejaskan KDNK Kuala Lumpur dan menyebabkan harga rumah serta sewa melonjak, sekali gus menolak golongan berpendapatan rendah ke pinggir bandar,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, perancangan akan berasaskan data kapasiti dan keperluan sebenar dengan tumpuan kepada Zon Perancangan Transit (TPZ) dan Zon Pengaruh Transit (TIZ).
Katanya, DBKL kini mengadaptasi pendekatan berasaskan geospatial dan digital untuk kawalan pembangunan, memastikan setiap projek selari dengan keperluan infrastruktur dan kesejahteraan sosial.