Konflik Amerika Syarikat, Israel–Iran: Ke Mana Arah Ketegangan Ini?


Oleh: Dr Aini Fatihah Roslam

ULASAN | Konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang semakin memuncak pada tahun 2026 menandakan satu lagi episod penting dalam dinamika geopolitik Asia Barat.

Laporan mengenai serangan udara yang menyasarkan kemudahan strategik Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel telah meningkatkan ketegangan serantau serta mencetuskan kebimbangan masyarakat
antarabangsa mengenai kemungkinan tercetusnya konflik berskala lebih besar.

Dalam kerangka kajian keselamatan antarabangsa, perkembangan ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai
konfrontasi ketenteraan semasa. Sebaliknya, ia merupakan kesinambungan persaingan strategik
yang telah lama wujud antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat yang berkisar pada isu program
nuklear Iran, keseimbangan kuasa serantau serta persaingan pengaruh geopolitik di Asia Barat.

Berapa lama konflik ini boleh berlanjutan?
Dalam analisis konflik antarabangsa, jangka masa konflik biasanya dipengaruhi oleh beberapa
faktor utama seperti keseimbangan kuasa ketenteraan, objektif strategik pihak yang terlibat serta
keberkesanan mekanisme diplomasi krisis.

Jika dilihat kepada corak konflik terdahulu di Asia Barat, kebanyakan konfrontasi yang melibatkan Amerika Syarikat lazimnya berlaku dalam bentuk konflik terhad dengan tempoh yang relatif singkat.

Kajian terhadap krisis serantau sejak Perang Arab Israel 1973 menunjukkan bahawa banyak konflik ketenteraan yang melibatkan kuasa besar berakhir dalam tempoh beberapa minggu hingga beberapa bulan (paling singkat adalah 45 hari) apabila tekanan diplomatik antarabangsa meningkat dan kos operasi ketenteraan menjadi semakin tinggi kepada semua pihak yang terlibat.

Bagaimanapun, walaupun operasi ketenteraan secara langsung mungkin tidak berpanjangan, konflik ini berpotensi berlarutan melalui bentuk perang proksi. Iran sejak sekian lama menggunakan rangkaian kumpulan sekutu serantau yang sering dirujuk sebagai “axis of resistance” bagi mengekalkan pengaruh strategiknya di Asia Barat.

Kumpulan seperti Hezbollah di Lubnan serta beberapa kumpulan bersenjata di Iraq dan Syria berupaya memperluaskan konflik tanpa memerlukan konfrontasi langsung antara negara negara utama. Dalam senario sedemikian, ketegangan geopolitik boleh berlanjutan selama bertahun tahun walaupun intensiti
pertempuran secara langsung semakin berkurangan.

Bagaimana menilai sama ada ketegangan semakin reda?

Selain tempoh konflik, satu lagi persoalan penting ialah bagaimana ketegangan antara pihak yang terlibat boleh dinilai sama ada semakin reda atau semakin meningkat.

Dalam kajian keselamatan antarabangsa, beberapa indikator sering digunakan untuk menilai proses
pengurangan ketegangan.

Pertama ialah perubahan dalam intensiti operasi ketenteraan. Penurunan jumlah serangan udara
atau operasi ketenteraan di kawasan konflik sering menjadi petunjuk awal bahawa pihak yang
terlibat sedang bergerak ke arah pengurangan eskalasi.

Kedua ialah kemasukan semula mekanisme pemantauan nuklear antarabangsa. Sekiranya Iran
membenarkan semula pemeriksaan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa terhadap
kemudahan nuklearnya, langkah tersebut boleh ditafsirkan sebagai kesediaan untuk kembali
kepada proses diplomasi nuklear yang sebelum ini menghasilkan Perjanjian Nuklear Iran pada
tahun 2015.

Sebaliknya, sekatan terhadap akses pemeriksa antarabangsa sering dianggap sebagai tanda peningkatan ketegangan dan ketidakpercayaan strategik antara pihak yang berkonflik.

Ketiga ialah peningkatan aktiviti diplomasi tidak rasmi. Rundingan tidak formal melalui negara
perantara seperti Oman atau Qatar boleh menjadi saluran awal untuk membuka ruang dialog
sebelum rundingan rasmi dimulakan. Pendekatan diplomasi senyap ini telah memainkan peranan
penting dalam beberapa rundingan keselamatan di Asia Barat sebelum ini.

Selain itu, kestabilan pasaran tenaga global turut menjadi indikator penting dalam menilai keadaan keselamatan serantau. Asia Barat merupakan kawasan strategik dalam perdagangan tenaga dunia dan sebarang gangguan terhadap laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz boleh memberi kesan besar terhadap bekalan minyak global.

Laluan tersebut mengendalikan kira kira 20 peratus perdagangan minyak dunia, menjadikannya antara laluan tenaga paling kritikal dalam sistem ekonomi antarabangsa.

Dinamika geopolitik yang lebih luas
Dalam jangka panjang, konflik ini berpotensi memberi kesan geopolitik yang mendalam terhadap Asia Barat. Salah satu implikasi utama ialah kemungkinan peningkatan perlumbaan senjata di rantau tersebut.

Serangan terhadap kemudahan nuklear Iran berpotensi mendorong Tehran mempercepatkan pembangunan keupayaan nuklear sebagai strategi pencegahan bagi menghadapi ancaman masa depan.

Jika situasi ini berlaku, negara negara lain di rantau tersebut seperti Arab Saudi atau Turki mungkin turut mempertimbangkan pembangunan keupayaan nuklear mereka bagi mengekalkan keseimbangan kuasa serantau.

Selain itu, konflik ini juga berpotensi mengubah konfigurasi pakatan strategik di Asia Barat. Iran mungkin memperkukuh kerjasama dengan kuasa besar seperti Rusia dan China sebagai tindak balas terhadap tekanan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Pada masa yang sama, beberapa negara Arab mungkin meningkatkan kerjasama keselamatan dengan Israel dalam usaha menghadapi pengaruh Iran di rantau tersebut. Perkembangan ini berpotensi membentuk blok keselamatan baharu yang boleh mengubah struktur keseimbangan kuasa serantau.

Akhirnya, kesan konflik ini tidak terhad kepada Asia Barat sahaja. Ketidakstabilan di kawasan pengeluar tenaga utama dunia ini boleh mencetuskan turun naik harga minyak global dan memberi kesan langsung kepada ekonomi antarabangsa.

Ketegangan geopolitik yang berpanjangan berpotensi meningkatkan ketidaktentuan pasaran tenaga serta menjejaskan kestabilan ekonomi global.

Secara keseluruhannya, konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran merupakan krisis strategik yang mempunyai implikasi yang jauh melangkaui dimensi ketenteraan semata mata.

Walaupun terdapat kemungkinan bahawa konflik ini kekal dalam bentuk konfrontasi terhad, kesannya terhadap keselamatan serantau, struktur pakatan antarabangsa serta kestabilan ekonomi global berpotensi berlanjutan dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, perkembangan konflik ini perlu diperhatikan secara teliti kerana ia berupaya membentuk landskap keselamatan baharu di Asia Barat pada masa hadapan.

*** Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat