KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, menyampaikan ucapan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, sempena Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung pada Sabtu.
Dalam satu hantaran di Facebook, Kamil menzahirkan penghargaan atas penganjuran konvensyen tersebut yang disifatkan sebagai wadah penting untuk memperkukuh peranan generasi muda dalam menyumbang idea dan pandangan membina demi masa depan negara.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat berkonvensyen kepada Saudara Akmal Saleh.
“Semoga konvensyen khas ini menjadi ruang yang matang dan bermakna untuk memperkukuh peranan generasi muda dalam menyumbang idea serta pandangan yang membina demi masa depan negara,” katanya.
Beliau menekankan bahawa dalam realiti Malaysia yang majmuk, kestabilan dan keharmonian hanya dapat dipelihara melalui kebijaksanaan, kesederhanaan dan rasa tanggungjawab bersama.
“Hakikatnya, kita semua adalah satu keluarga besar.
“Walaupun berlainan latar belakang dan bangsa, kita tetap dengan satu tujuan yang sama; memelihara keharmonian dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya.
Seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI, beliau menyeru agar semua pihak mengamalkan pendekatan berhemah, memperkukuh kerjasama serta memelihara keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.
“Dengan komitmen bersama, Insya-Allah kestabilan politik dan kemajuan Malaysia akan dapat terus dikekalkan,” katanya.








