PETALING JAYA: Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Jalex Lee, membidas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung konvoi Perikatan Nasional (PN) yang didakwa menggunakan wang sendiri.
Menurut Jalex, kenyataan tersebut mengelirukan rakyat kerana peserta konvoi turut menikmati subsidi bahan api RON95 di bawah program BUDI95.
“Sebagai seorang Menteri Besar, beliau sepatutnya memahami bahawa subsidi RON95 adalah hasil daripada kutipan cukai dan pendapatan negara, iaitu duit rakyat,” katanya.
Beliau berkata, harga pasaran sebenar RON95 adalah RM3.87 seliter, namun rakyat hanya membayar RM1.99 seliter melalui subsidi BUDI95.
“Ini bermakna hampir 50 peratus daripada kos bahan api tersebut ditanggung oleh kerajaan dan secara langsung oleh rakyat Malaysia,” tegas beliau.
Justeru katanya, dakwaan bahawa konvoi tersebut tidak melibatkan dana kerajaan dianggap tidak tepat.
“Realitinya, sebahagian besar kos bahan api yang digunakan dalam konvoi tersebut disubsidi dan itu adalah wang rakyat,” katanya lagi.
Dalam suasana dunia yang sedang berdepan krisis tenaga global, Jalex berkata, tindakan menganjurkan konvoi sebegini tidak mencerminkan keutamaan sebenar.
“Rakyat memerlukan penyelesaian, bukan retorik politik yang membazir dan tidak membawa manfaat,” katanya.
Tambah beliau, tenaga dan masa sepatutnya digunakan untuk merangka dasar yang membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, bukannya menganjurkan program yang secara tidak langsung membebankan kewangan negara.
Terdahulu, Sanusi Md Nor mempertahankan penganjuran konvoi motosikal PN Sabtu lalu dengan menegaskan ribuan peserta hadir atas kesedaran sendiri walaupun dunia sedang berdepan krisis tenaga global.








