KUALA LUMPUR: Pembangunan Kota MADANI dan Smart City Kuala Lumpur bukan sekadar projek fizikal tetapi merupakan manifestasi tekad kerajaan untuk melonjakkan daya saing negara dalam bidang ekonomi dan inovasi, sambil menegakkan keadilan sosial, kelestarian alam dan maruah nasional, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis, Perdana Menteri berkata, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi gagasan masa depan, sebaliknya telah menjadi realiti yang sedang diterokai secara aktif bagi memperkasa rakyat dan memperluas akses kepada peluang baharu.
“Kota yang benar-benar pintar tidak hanya berlandaskan teknologi semata-mata tetapi mesti menjadi ruang hidup yang inklusif, lestari dan berbudaya,” katanya.
Menurut Anwar, sejarah telah membuktikan bahawa kota merupakan pusat tamadun dan pembangunan yang tidak berteraskan jiwa serta nilai hanya akan melahirkan ‘hutan konkrit yang tandus budaya’.
“Kita mesti membangun kota yang canggih secara teknologi tetapi kekal mengakar pada jati diri, nilai dan warisan khazanah bangsa,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, melalui prinsip MADANI, Malaysia mampu melakar hala tuju kota pintar yang bukan sahaja maju dari segi teknologi tetapi turut memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.








