Kota MADANI Tak Guna Duit Rakyat, Pemaju Tanggung Sepenuhnya – Zaliha

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa projek pembangunan Kota MADANI yang bakal dilaksanakan di Presint 19, Putrajaya tidak akan membabitkan perbelanjaan kerajaan, sebaliknya sepenuhnya dibiayai oleh pihak pemaju.

Katanya, projek bernilai kira-kira RM4 bilion itu dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta dengan model Build-Lease-Maintain-Transfer (BLMT), dan ia tidak sewajarnya dilabel sebagai pembaziran.

“Ini bukan bazirkan duit rakyat. Kos pembangunan dan penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Selepas 25 tahun, keseluruhan projek akan menjadi milik kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakan projek Kota MADANI akan menggantikan Putrajaya secara keseluruhan. Jelasnya, pembangunan itu hanya merangkumi 102 hektar, bersamaan 0.8 peratus daripada keseluruhan kawasan Putrajaya.

Dr Zaliha menjelaskan, Kota MADANI dirancang untuk menyediakan 10,000 unit kuarters baharu bagi penjawat awam memandangkan ketika ini terdapat lebih 17,000 permohonan kuarters yang belum dapat dipenuhi.

“Bagi saya, penjawat awam layak mendapat kemudahan perumahan yang baik. Putrajaya perlu terus diperkukuh sebagai kota tadbir urus yang inklusif dan berwawasan,” tambahnya.

Menurut beliau, penggunaan nama MADANI juga tidak berkait dengan agenda politik, sebaliknya merujuk kepada nilai-nilai seperti kemanusiaan, keadilan dan kelestarian, selaras dengan visi bandar CHASE iaitu bersih, sihat, terkehadapan, selamat dan mesra alam.

Projek Kota MADANI akan dilaksanakan secara berfasa bermula suku ketiga tahun ini. Ia turut menggabungkan elemen pembangunan rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar serta teknologi masa depan.

Sebelum ini, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud memaklumkan projek berimpak tinggi itu lahir daripada kajian mendalam terhadap keperluan perumahan mampu milik khususnya untuk penjawat awam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat