KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mempergiat pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan larangan penjualan minyak masak bersubsidi dalam bungkusan polibeg 1 kilogram kepada bukan warganegara dipatuhi di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Fuziah Salleh berkata, langkah itu penting agar manfaat subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia yang layak.
“KPDN akan terus mempergiat pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket 1kg kepada bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Lawatan beliau ke Emart Matang mendapati urus niaga minyak masak peket 1kg di premis berkenaan terkawal dengan bekalan berada pada tahap mencukupi.
Notis Larangan Penjualan dan Pembelian turut diserahkan kepada pihak pengurusan pasar raya sebagai peringatan terhadap peraturan yang berkuat kuasa.
Sejak 1 Mac hingga kini, sebanyak 13,564 pemeriksaan berkaitan larangan itu telah dijalankan di seluruh negara.
Hasilnya, tiada kes direkodkan setakat ini, manakala hanya tujuh aduan diterima berhubung pelaksanaannya.
Di Sarawak sahaja, sebanyak 563 pemeriksaan dilakukan dalam tempoh sama, juga tanpa sebarang kes direkodkan.
Selain itu, KPDN turut melaksanakan Ops Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac bagi memantau bekalan serta harga barangan keperluan sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan serta menjamin barangan bersubsidi terus sampai kepada golongan yang benar-benar layak,” ujar beliau.








