KPDN sita produk ‘Salted egg salmon skin’ viral guna logo halal tidak sah di Perak

Sebuah premis yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi produk makanan ringan di Kawasan Perindustrian Jelapang, Perak diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Isnin.

Menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, serbuan itu dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak bermula pukul 11 pagi, hasil daripada maklumat awam dan risikan berhubung aktiviti memproses makanan di kawasan tersebut yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, premis ini sedang beroperasi dengan memproses makanan produk ‘Salted Egg Salmon Skin’. Seorang wanita tempatan yang disyaki pengurus premis hadir dan bagi mebantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal. Semakan awal mendapati logo halal ini digunakan untuk tujuan perdagangan secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kamalludin berkata, pengurus premis terbabit turut gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakuan oleh pihak berkuasa apabila diminta oleh pihak KPDN.

Sementara itu, beliau berkata, satu tindakan kes telah diambil dengan tindakan menyita kesemua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, balang plastik yang tertera logo halal dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Selain itu, produk makanan ringan itu dijual secara dalam talian dan mendapat sambutan oleh ramai pengguna.

Dalam pada itu, nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM88,582.50.

“Kes disiasat kerana melanggar Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 8 (a) perintah yang sama.

“Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan,” jelasnya.

Difahamkan, KPDN turut menyeru kepada setiap peniaga dan pengusaha supaya mematuhi perundangan yang berkuat kuasa termasuk mendapatkan perakuan halal yang sah daripada agensi kerajaan.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/03/05/penunggang-motor-maut-rempuh-kereta-buat-pusingan-u/

Anda Mungkin Berminat