Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Peruntukan sebanyak RM3 juta telah digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pembelian dan pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di 200 sekolah asrama terpilih.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, proses perolehan CCTV itu telah dilaksana secara terbuka menerusi Sistem ePerolehan berpandukan kepada Pekeliling Perbendaharaan PK2.1.
“Perihal Umum yang telah menetapkan had nilai dan tatacara perolehan yang sedang berkuat kuasa. Perolehan telah dilaksanakan oleh jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) atau sekolah bergantung kepada situasi masing-masing,” katanya
Beliau berkata demikian pada Sidang Parlimen di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim yang bertanya mengenai pemilihan kontraktor oleh Kementerian akan dibuat secara tertutup atau terbuka dalam projek pemasangan CCTV di 200 sekolah berasrama penuh.

Serta soalan beliau, mengenai lokasi terbaik untuk pemasangan CCTV bagi mengelakkan kes buli berlaku di asrama.
Wong berkata, pelaksanaan pembekalan dan pemasangan CCTV dilaksanakan secara strategik melibatkan sinergi merentasi Kementerian, agensi KPM dan Bahagian KPM yang merangkumi khidmat nasihat dan penetapan spesifikasi daripada JKR dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
“KPM telah membuat pengumuman berkaitan pemasangan CCTV pada 4 September 2025 sebagai sebahagian daripada strategi berfasa bagi memperkukuh pengawasan serta mencegah insiden buli dan salah laku di sekolah.
“KPM tidak menunggu lama selepas pengumuman tersebut, KPM telah memulakan proses perolehan dengan segera, yang seterusnya membawa kepada pelaksanaan pemasangan CCTV bermula pada 13 Oktober 2025.
Secara tidak langsung katanya, tindakan KPM itu mencerminkan komitmen yang tinggi dalam memastikan keselamatan murid dan warga sekolah diberi keutamaan.
“Sehingga kini, sebanyak 149 daripada 200 buah sekolah telah selesai dipasang CCTV, menjadikan pencapaian semasa sebanyak 75 peratus,” ujarnya.
Menyentuh mengenai lokasi pemasangan CCTV, KPM akan memasang ia di ruang awam yang strategik dan berisiko tinggi, seperti laluan utama asrama termasuk pintu masuk dan keluar, kawasan tangga dan koridor, dewan makan, bilik prep, bilik seterika, serta kawasan persekitaran blok asrama yang terpencil.
Tegasnya, CCTV tidak akan dipasang di bilik tidur, tandas atau ruang persalinan kerana ia boleh mendedahkan aib pelajar dan melanggar prinsip hak asasi serta privasi.
“Sebagai langkah tambahan, pengawasan di ruang tersebut akan diperkukuh melalui rondaan warden secara berjadual,” katanya.
Baca juga:








