KPM komited tingkatkan kualiti guru, mengajar dalam bahasa Inggeris

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha meningkatkan kualiti guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan memastikan mereka berkemahiran dalam menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan berkesan.

Kata Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek, perkara itu bermula daripada peringkat pengambilan guru, KPM menetapkan syarat akademik guru yang dipilih merupakan guru yang mempunyai opsyen mata pelajaran Sains, Sains Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Matematik atau Matematik Tambahan serta mendapat pangkat kepujian dalam bahasa Inggeris (BI) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut KPM, syarat tersebut selari dengan kriteria pemilihan guru seperti dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2020.

“KPM telah melaksanakan satu kajian keberkesanan pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) pada tahun 2022, hasil dari kajian tersebut menunjukkan tahap pelaksanaan PdP guru yang melaksanakan DLP adalah memuaskan.

“Guru didapati mampu menyediakan perancangan pengajaran mereka dalam versi bahasa Inggeris, menggunakan bahan bantuan mengajar dalam bahasa Inggeris serta melaksanakan intervensi yang bersesuaian bagi murid.

“Pelbagai program dan kursus telah dilaksanakan bagi mempertingkatkan lagi kemahiran, profisiensi dan pedagogi guru mata pelajaran Sains dan Matematik yang mengajar kelas DLP.

“KPM juga melaksanakan Latihan Dalam Perkhidmatan dan memfokuskan kepada kaedah berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris bagi meningkatkan tahap keyakinan guru untuk mengajar kelas DLP,” katanya dalam jawapan bertulis bertulis bagi menjawab pertanyaan daripada Fong Kui Lun pada sidang Parlimen.

KPM juga telah menganjurkan program Mathematics and Science in English Language Seminar (MASELS) tahun 2023 bertujuan memberi pendedahan serta peluang kepada guru yang terlibat dengan DLP untuk berkongsi amalan terbaik PdP berkaitan DLP.

Terdahulu, KPM telah memperkenalkan DLP di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). 

DLP ini memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam PdP mata pelajaran Sains dan Matematik bermula tahun 2016.

Difahamkan, tiada dasar kerajaan yang baharu mahupun pengumuman pembatalan PdP mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dibuat ke atas semua sekolah yang sedang melaksanakan DLP

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat