NILAI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi seorang murid Tahun 3 yang maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata laporan lengkap hasil siasatan akan dikemukakan segera bagi tindakan lanjut, selain memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.
“KPM merakamkan takziah kepada keluarga mangsa. Tragedi ini amat menyentuh kita semua kerana melibatkan soal keselamatan anak-anak di sekolah,” katanya, memetik berita tempatan.
Fadhlina memaklumkan audit keselamatan sekolah kini sedang dijalankan melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah, yang turut memantau aspek keselamatan fasiliti pendidikan di seluruh negara.
Turut hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad; Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Amzan Abd Malek; Pengarah JPNS, Khalidah Omar serta beberapa exco Kerajaan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Arsyad Jahaya, 35, yang bertindak berani menyelam ke dalam saluran kumbahan bagi membawa keluar murid berkenaan, Abdul Fatah Khairol Rizal.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Fatah meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan pada pagi semalam.
Berhubung siasatan polis, Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdul Malik Hasim berkata lapan individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.
Ibu mangsa, Norfazila Md Lajin, 43, menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan KPM serta sokongan masyarakat.
“Menteri beritahu saya, pengarah pendidikan akan menguruskan aspek insurans dan menjalankan siasatan menyeluruh. Saya berharap semua pihak mengambil tindakan segera agar kejadian ini tidak berulang,” katanya dalam nada sebak.
Baca juga: