KPM: Tali leher murid tidak lagi diwajibkan mulai tahun hadapan

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan bahawa pemakaian tali leher tidak lagi diwajibkan kepada murid sekolah mulai sesi persekolahan tahun hadapan.

Menurut KPM, keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Profesional Khas KPM 2025 yang berlangsung pada 8 Disember lalu dan dimaklumkan menerusi surat siaran bertarikh 17 Disember.

Surat berkenaan ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.

Kementerian menegaskan bahawa tiada sebarang paksaan atau tekanan boleh dikenakan terhadap murid berkaitan pemakaian tali leher di sekolah.

Dalam kenyataan di laman sesawang rasminya, KPM memaklumkan langkah itu diambil bagi mengambil kira keperluan semasa murid serta keprihatinan terhadap beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

Antara faktor utama dipertimbangkan ialah keadaan iklim tempatan yang panas dan lembap, yang didapati kurang sesuai untuk pemakaian tali leher secara harian dan boleh menjejaskan keselesaan murid.

Langkah berkenaan juga selari dengan usaha KPM mengurangkan tekanan kewangan isi rumah, khususnya menjelang permulaan sesi persekolahan baharu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat