KPN: Jenayah fizikal dan emosi mangsa GISB perlu penilaian lanjut

PETALING JAYA: Seramai 149 mangsa yang diselamatkan daripada serbuan ke atas rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB) dijaga sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa iaitu kanak-kanak dalam lingkungan umur 1 hingga 10 tahun akan dipindahkan ke empat lokasi selamat yang tidak didedahkan kepada umum.

“Baki mangsa kanak-kanak seramai 243 orang lagi masih ditempatkan di PULAPOL (pusat latihan Polis Malaysia) dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat,” katanya dalam sidang media berkait isu GISB pada Selasa.

Dalam pada itu, Razarudin turut menyatakan bahawa proses saringan kesihatan melibatkan 392 mangsa telah pun selesai dilaksanakan.

“Sehingga 16 September, proses saringan kesihatan yang dijalankan oleh KKM ke atas 392 mangsa telahpun selesai.

“Hasil daripada saringan tersebut, terdapat elemen dari sudut jenayah fizikal dan emosi yang perlu penilaian lanjut terhadap mangsa-mangsa yang diselamatkan,” katanya.

Jelas beliau, antara elemen jenayah yang dikesan adalah penderaan fizikal dan emosi yang mana ada tular bahawa mangsa disebat dan dipukul di bahagian dada serta leher.

Selain itu, pengantunan atau ‘child grooming’ dan ‘child labour’ turut dikesan dengan mereka dipaksa bekerja biar pun di bawah umur.

Sebelum ini ratusan kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Susulan itu, seramai 171 individu yang ditahan dalam Op Global di Selangor dan Negeri Sembilan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes eksploitasi kanak-kanak.

Anda Mungkin Berminat