KPN kecewa anggota culas jalankan tugas, mohon ketengahkan cara kerja baharu untuk kembalikan keyakinan rakyat

Pembudayaan konsep baharu perlu diterapkan oleh pemegang tampuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap PDRM sebagai agensi penguatkuasa undang-undang.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, menyeru semua ketua polis di seluruh daerah untuk mulai meninggalkan sistem kerja lama dan bergerak ke arah transformasi untuk meningkatkan kualiti kerja PDRM.

“Setiap penyelia perlu membudayakan konsep kepimpinan melalui teladan dan sentiasa turun padang dan mengambil tahu semua hal di lapangan dan tidak hanya bergantung kepada laporan pegawai bawahan sahaja,” katanya.

Razarudin turut meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pegawai yang masih bersikap acuh tak acuh terhadap aduan yang diterima hingga mengakibatkan kegusaran masyarakat terhadap kecekapan kerja PDRM.

“Oleh itu, saya nasihatkan agar semua Ketua Polis Daerah perlu semak kembali tatacara penugasan dan pelaporan dari Pusat Kawalan Daerah masing-masing bagi meningkatkan tahap respond time PDRM,” ujarnya.

Razarudin berkata demikian ketika Majlis Perjumpaan Bersama Penyelia Kontinjen Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, pada pagi hari Ahad.

Turut hadir, barisan ketua polis dari ketiga-tiga kontinjen, Ketua-ketua Jabatan IPK Kedah, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad dan SAC Dasar Strategik Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, SAC Azman Abd Razak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat