KPN sertai Perhimpunan Agung INTERPOL Ke-92 di Glasgow

GLASGOW: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain telah tiba di United Kingdom bagi menghadiri Perhimpunan Agung International Criminal Police Organization (INTERPOL) Kali Ke-92 yang diadakan di Scottish Event Campus, di sini.

Perhimpunan itu berlangsung dari 4 hingga 7 November dan mengumpulkan para menteri dan ketua-ketua badan keselamatan di seluruh dunia.

Program tahunan itu bertujuan memastikan aktiviti INTERPOL selaras dengan keperluan negara anggota bagi menentukan prinsip dan langkah untuk mencapai objektifnya, serta menyemak dan meluluskan aktiviti yang akan datang.

“Saya bersama delegasi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari; Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa), Datuk Suparamaniam Ramasamy dan Penolong Pengarah National Central Bureaus INTERPOL, Superintenden Saravanan Kanniappan telah menghadiri beberapa acara penting seusai perasmian perhimpunan tersebut,” kata Razarudin menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, dalam ucaptama Presiden INTERPOL, Major General Ahmed Naser Al-Raisi, beliau mengalu-alukan kehadiran para delegasi dan memperkenalkan calon Setiausaha Agung INTERPOL yang baharu, Brazillian Federal Police Commissioner, Valdecy Urquiza.

Razarudin dan perwakilan antarabangsa turut mendengar amanat dari General Jurgen Stock sebelum menghadiri pembentangan laporan Hak Keistimewaan dan Kekebalan INTERPOL.

Forum bertajuk ‘AI and The Future Of Policing’ turut berlangsung, menampilkan tokoh-tokoh keselamatan terkemuka antarabangsa seperti Dr. Ozcan Saritas, Ms. Pierette Mbombo Mukadi, Mr. Neal Jetton dan Mr. Madan Oberoi sebagai moderator.

Jadual padat diteruskan dengan pembentangan enam kertas kerja berkaitan isu keselamatan dunia.

“Antaranya termasuk keupayaan kepolisan bagi generasi baharu, jenayah seksual melibatkan kanak-kanak, terrorisme, pengukuhan analisa INTERPOL dan pembuktian digital dalam bidang kepolisan dunia,” menurut kenyataan itu.

Perhimpunan agung hari pertama turut menyaksikan pembentangan draf perjanjian kerjasama antara INTERPOL dan Badan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menguruskan kes-kes jenayah peringkat antarabangsa.

Razarudin dijangka akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Major General Ahmed Naser, disusuli pertemuan bersama rakan sejawatan dari Australia, China, Japan, Qatar dan UAE.

Anda Mungkin Berminat