PETALING JAYA: Impak konflik di Asia Barat yang kini dirasai seluruh dunia tidak wajar dijadikan alasan untuk menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, situasi semasa adalah krisis global yang memberi kesan meluas termasuk kepada Malaysia dan tidak seharusnya dipolitikkan oleh pihak pembangkang.
“Cubalah mereka (pembangkang) pergi ke Selat Hormuz atau ke negara Asia Barat untuk melihat sendiri keadaan sebenar.
“Kita sebenarnya bernasib baik. Jangan asyik menjadikan masalah global ini sebagai kesalahan kerajaan.
“Ini hakikat yang perlu kita terima,” katanya.
Zahid berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin melalui hantaran di media sosial mengaitkan kemarahan rakyat dengan kenaikan harga bahan api.
Manakala Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham turut mempersoalkan sama ada kenaikan harga minyak berpunca sepenuhnya daripada konflik Asia Barat, memandangkan peningkatan harga minyak dunia juga memberi kesan kepada hasil negara melalui PETRONAS.








