SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan kerugian sebanyak RM1.45 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang dijalankan melalui aplikasi mencurigakan sejak hujung April lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim, mangsa berusia lingkungan 50-an membuat laporan di Balai Polis Pantai setelah menyedari ditipu.
“Mangsa berurusan dengan individu yang menawarkan skim pelaburan pada 29 April dan diarahkan memuat turun sebuah aplikasi,” katanya.
Mangsa kemudiannya membuat 15 transaksi kewangan ke tujuh akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek. Jumlah keseluruhan kerugian yang direkodkan adalah sebanyak RM1,449,750.
Mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan apabila diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan kononnya keuntungan pelaburan.
Pihak polis kini menyiasat kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan usaha mengesan individu terlibat sedang dijalankan.
Dalam kenyataan berasingan sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) mengingatkan orang ramai agar tidak memuat turun aplikasi daripada pautan tidak sah
dan sentiasa menyemak terlebih dahulu tawaran pelaburan yang diterima secara dalam talian.
Baca juga: