Lapangan terbang negara perlu dinaik taraf segera, PN jangan cuba alih ‘tiang gol’

Oleh: Wahida Ramlan

PETALING JAYA: Penambahbaikan lapangan terbang di negara ini yang semakin ketinggalan perlu difikirkan terlebih dahulu sebelum melayan kerenah pembangkang yang kononnya Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim menjual lapangan terbang kepada syarikat pro Yahudi.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar berkata, tindakan Ketua Armada Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal yang sering mencetuskan teori sendiri berkait usaha pembentukan Konsortium Malaysia dalam pegangan saham MAHB adalah usaha licik bagi mengalihkan ‘tiang gol’.

Hakikatnya, beliau berkata, isu naik taraf lapangan terbang yang kronik dan kurang menyumbang kepada ekonomi negara yang perlu disegerakan kerana suatu masa dahulu ianya pernah dianggap lapangan terbang terbaik di dunia.

“Kerajaan harus fokus melakukan penambahbaikan terhadap lapangan terbang negara secara radikal dan pantas.

“Ekosistem lapangan terbang tanah air kita hanya menyumbang 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berbanding Singapura sebanyak sehingga 12 peratus dan Thailand sebanyak 16 peratus.

“Lebih malang lagi adalah usaha menaiktaraf lapangan terbang negara melalui peruntukan konvensional sering kali diganggu oleh pelbagai salah guna dana negara oleh pentadbiran yang lalu termasuklah kes Projek Jana Wibawa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, amat malang rakyat mendapat pembangkang seperti pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang sering melakukan tohmahan tanpa ada idea yang lebih bernas untuk membaiki prestasi lapangan terbang negara.

Katanya, apabila kerajaan mengusahakan kaedah melalui pembentukan konsortium, PN pula ambil kesempatan mengaitkan usaha itu sebagai konspirasi menjayakan penjualan saham kepada kepentingan pro-zionis.

“(Ini termasuk) misalnya dakwaan pembubaran MAVCOM bagi menjayakan agenda ini walhal pembubaran telah dipersetujui oleh kabinet PN dahulu.

“Langkah-langkah alternatif yang dicadangkan olehnya (pembangkang pula) seperti melantik perunding dan berhutang tidak konsisten, dan malah tidak munasabah

“Masa bertindak untuk menyelamatkan keadaan lapangan terbang yang sudah lama tidak dinaiktaraf secara besar-besaran adalah amat perlu sebelum ianya bertambah buruk dan menjadi destinasi ‘paranormal’.

“Ini juga sekali gus salah satu peluang besar negara untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, tatkala berlaku perubahan rangkaian bekalan global, susulan isu geopolitik dunia yang memberi manfaat buat Malaysia sekarang,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat