KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa Kerajaan MADANI telah melaksanakan reformasi perundangan secara menyeluruh dengan menggubal dan meminda lebih daripada 80 undang-undang utama sepanjang tempoh pentadbirannya sejak November 2022.
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Rakyat, beliau berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha sistematik kerajaan untuk membina semula asas tatakelola negara yang kukuh, telus dan berintegriti.
“Ini bukan reformasi bersifat kosmetik. Ia adalah tindakan berani untuk memperbetulkan sistem, memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan keadilan dilaksanakan secara adil dan saksama,” katanya.
Antara undang-undang penting yang digubal dan dipinda termasuk Akta ILTIZAM, Akta Perkongsian Data, Akta Polis serta pindaan kepada Akta Kanak-kanak yang kesemuanya bertujuan memperkukuh perlindungan hak asasi manusia, meningkatkan kecekapan pentadbiran dan memperluas ruang kebertanggungjawaban dalam sektor awam dan swasta.
Anwar berkata, reformasi itu turut menyentuh aspek perundangan ekonomi dan tadbir urus, termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal sebagai langkah memperkukuh disiplin fiskal negara serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kewangan kerajaan.
“Kita tidak mahu lagi ketirisan, pembaziran atau penyalahgunaan kuasa.
“Maka undang-undang mesti menjadi benteng integriti, bukan sekadar hiasan perundangan,” tegas beliau lagi.
Agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut diperkasa dengan mandat yang lebih luas, selaras dengan semangat reformasi undang-undang yang lebih efektif dan menyeluruh.
Reformasi perundangan ini adalah antara tiang utama dalam pelaksanaan Ekonomi MADANI yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat, kemampanan pembangunan dan tatakelola berintegriti.
Langkah ini sekali gus membuktikan iltizam kerajaan dalam membina sebuah Malaysia baharu yang berdaya tahan, telus dan diyakini rakyat serta masyarakat antarabangsa.