PETALING JAYA: Seorang lelaki tempatan telah ditahan kerana cuba memindahkan sejumlah babi yang disyaki dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dari Sepang ke luar Selangor pada 10 Mac lalu.
Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Dr Hassuzana Khalil berkata, tindakan itu berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Operasi ASF.
“Operasi itu dijalankan pada jam 7.15 petang, di mana lelaki tersebut dipercayai cuba memindahkan babi yang dijangkiti ASF tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Ketika operasi berlangsung, dua kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan oleh ‘tonto’ cuba menghalang pasukan DVS Selangor daripada menahan lori yang membawa babi berkenaan.
“Dengan bantuan Balai Polis Sepang, ketiga-tiga kenderaan tersebut berjaya ditahan di sekitar Jalan Besar, Sungai Pelek, Sepang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, dua lelaki tempatan yang memandu kenderaan ‘tonto’ itu turut ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Hasil operasi ini, katanya, pihak berkuasa telah menyita 17 ekor babi, dua bangkai babi, sebuah lori Mitsubishi Fuso serta dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Isuzu D-Max.
Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 36, Akta Binatang 1953 [Akta 647].
“Usaha membanteras pemindahan babi tanpa kebenaran akan terus dipertingkatkan bagi mengekang penularan ASF,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas komitmen mereka dalam membantu menjayakan operasi ini.