PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki tempatan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang berhubung hantaran bergambar berunsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan rasmi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk M. Kumar, tangkapan dilakukan semalam sekitar pukul 7.10 malam hasil kerjasama pasukan Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan satu akaun Facebook yang memuat naik kandungan berunsur penghinaan pada 2 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas dua unit telefon bimbit jenama Samsung bersama kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan.
M. Kumar memaklumkan bahawa sebanyak 12 laporan polis telah diterima di seluruh negara berkaitan isu sama.
Permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat pada 4 Mei 2026.
Kes berkenaan kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda atau penjara bergantung kepada peruntukan undang-undang yang dikenakan.
PDRM dalam kenyataan itu menegaskan bahawa sebarang penyalahgunaan media sosial yang menyentuh isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kestabilan negara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab,” tegasnya.
PDRM turut memberi jaminan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.








