Seorang lelaki berusia 20-an diselamatkan oleh nelayan setelah terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 10.47 pagi pada Selasa.
Menerusi kenyataan, Komander operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Noor Sakila Said menyatakan pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi kejadian di KM 2.2, Jambatan Pulau Pinang, Arah Perai – Pulau, Pulau Pinang.
Mangsa dikatakan meninggalkan sebuah motosikal jenis Honda Wave di atas jambatan sebelum terjun ke dalam laut dari jambatan tersebut.
“Pada waktu kejadian, sebuah bot nelayan kebetulan berada di lokasi kejadian bertindak mengangkat mangsa ke tiang jambatan tersebut sebelum beredar dari situ.
“Pasukan bomba kemudiannya menuruni jambatan tersebut menggunakan tali penyelamat bagi menenangkan dan menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa yang berjaya diselamatkan telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk dibawa ke Jeti Batu Uban menggunakan bot untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Baca juga: