Nasional

PM mahu hapuskan fikiran stereotaip ada jawatan untuk ‘kumpul harta’

Mengambil pendekatan berani mengeluarkan pandangan dan mempamerkan sokongan terhadap usaha ke arah perubahan menghapuskan rasuah dalam kalangan golongan intelektual.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu amat diperlukan biarpun sedar, wujud beberapa pihak yang menolak tindakan tersebut.

Malah, beliau menegaskan kegiatan sebegini mampu menyebabkan keruntuhan akhlak dan kehilangan berbilion ringgit.

“Saya mulakan dengan tatakelola. Memang tatakelola dan rasuah ini dibenci oleh beberapa pihak. Mereka kata, Anwar ni tak ada modal lain.

“Tetapi mereka tidak sedar sebab rasuah dan tatakelola lemah, berbilion wang rakyat dipunggah untuk tokoh-tokoh tertentu.

“Saya harap saya akan dapat (sokongan) kalau tak ada sokongan dalam politik dan lain-lain, sekurang-kurangnya dalam isu tatakelola dan tuntutan ke arah perubahan, saya mohon dukungan penuh daripada rakyat terutamanya golongan pemikir,” katanya ketika berucap merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan ‘The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia’, di Universiti Malaya (UM) pada Isnin.

Tegas Anwar, pandangan bahawa jawatan menteri serta Perdana Menteri memberi kelebihan untuk mengumpul kekayaan perlu dihapuskan sekali gus diperangi bagi memastikan wujudnya perubahan dalam sistem pentadbiran.

“Berapa (ramai) sarjana yang bicara dengan berani yang mengizinkan ketelanjuran begini, kita semua harus pikul tanggungjawab termasuk saya,” katanya.

Sementara itu, Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan ‘The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia’ menjadi platform mengumpulkan golongan akademik dan juga pakar terkemuka negara untuk berbincang dan berbahas memfokuskan kepada isu-isu kritikal yang akan dihadapi negara pada 100 tahun akan datang. – Bernama

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close