PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan pembayar cukai untuk menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan sebelum merancang perjalanan ke luar negara sempena Aidilfitri.
Dalam kenyataan hari ini, LHDN menegaskan bahawa pihaknya mempunyai kuasa untuk menghalang individu atau syarikat dengan tunggakan cukai daripada meninggalkan negara. Sekatan ini dibuat mengikut peruntukan Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
“Sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir selepas pelbagai peringatan dan notis diberikan kepada pembayar cukai yang masih gagal menjelaskan baki cukai tertunggak,” menurut kenyataan itu.
Pembayar cukai disaran menyemak status tunggakan melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my/, manakala semakan sekatan perjalanan boleh dibuat di portal Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
Sekiranya sekatan dikenakan, pembayar cukai perlu melunaskan bayaran penuh atau menghubungi Pejabat HASiL untuk rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.
“Kami menggalakkan pembayar cukai untuk segera menyelesaikan tunggakan atau berunding dengan LHDN bagi mengelakkan sebarang kesulitan, terutama bagi mereka yang merancang perjalanan ke luar negara dalam masa terdekat,” tambah kenyataan itu.
Permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian melalui perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan di portal MyTax dengan memenuhi syarat tertentu, termasuk bayaran penuh cukai dan kes sekatan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 tanpa melibatkan sekatan terhadap pengarah syarikat.
Maklumat lanjut mengenai prosedur pembatalan boleh diperoleh melalui Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau dengan mengunjungi Pejabat LHDN berhampiran.
Baca juga: