PETALING JAYA: Satu langkah bersejarah dalam dunia perubatan negara tercapai apabila lima pengamal perubatan yang memiliki kelulusan Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery kini secara rasmi didaftarkan sebagai pakar di bawah Daftar Pakar Majlis Perubatan Malaysia (MPM).
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pendaftaran itu dibuat selaras dengan Seksyen 14C Akta Perubatan 1971 [Akta 50], sekali gus menamatkan kemelut panjang berkaitan pengiktirafan Laluan Parallel dalam bidang pembedahan kardiotorasik.
“Langkah ini akan meningkatkan akses rakyat kepada rawatan pakar yang berkualiti termasuk di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kelima-lima pakar tersebut kini berkhidmat di dua institusi utama negara iaitu Hospital Pulau Pinang dan Institut Jantung Negara (IJN) yang menandakan permulaan baharu kepada integrasi kepakaran Laluan Parallel dalam sistem kesihatan awam.
Katanya, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan latihan intensif yang dilalui, kerajaan turut memperkenalkan Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang menjalani Supervised Work Experience (SWE).
Katanya, lebih banyak inisiatif sedang dirangka termasuk proses penilaian pakar luar negara melalui pendekatan ‘comparability evaluation’ bagi memastikan kelayakan mereka setara dengan piawaian tempatan.
Penyelesaian ini menjadi mungkin selepas pindaan Akta Perubatan 1971 yang diluluskan pada tahun 2024, memberikan jaminan bahawa lebih ramai pakar dapat berkhidmat demi kesejahteraan rakyat tanpa mengorbankan kualiti atau keselamatan pesakit.








