Lima lelaki ditahan kes gaduh, kelar

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan menggunakan sebilah pisau lipat sehingga mendatangkan kecederaan di Jalan Yap Kwan Seng pada Ahad lalu.

Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata dalam kejadian 4.03 pagi itu berlaku salah faham antara mereka hingga menyebabkan seorang daripadanya melibas tangan mangsa.

“Mangsa pertama mengalami kecederaan luka dan kesan kelar di bahagian lengan sebelah kiri, mangsa kedua dikelar di muka, kening dan bibir manakala mangsa ketiga luka di bahagian kepala dan menerima 10 jahitan.

“Kesemua mangsa menerima rawatan di sebuah hospital swasta di ibu negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sulizmie berkata lima suspek warga tempatan berumur antara 22 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Katanya lagi, pisau yang digunakan suspek juga telah dirampas.

“Permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara jenayah ke atas suspek akan dijalankan hari ini.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat