Lima Nelayan Asing Ceroboh Perairan Miri Ditahan

MIRI: Cubaan lima nelayan asing untuk menceroboh perairan Malaysia berakhir dengan penahanan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri, Jumaat lalu.

Vesel Nelayan Asing (VNA) itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar 70 batu nautika barat laut Suai, Miri pada pukul 5.45 petang sebelum cuba melarikan diri secara agresif apabila menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia.

Namun, tindakan pantas pasukan penguat kuasa berjaya menahan vesel tersebut pada pukul 7.16 malam bagi tujuan pemeriksaan.

Menurut Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, operasi itu adalah hasil perkongsian maklumat dengan bahagian perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia dalam usaha mengekang pencerobohan VNA di perairan Sarawak.

“Pemeriksaan mendapati lima kru termasuk tekong, kesemuanya lelaki berumur antara 36 hingga 53 tahun, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki warga Vietnam.

“Lebih membimbangkan, vesel tersebut didapati melakukan pelbagai kesalahan serius di bawah undang-undang negara,” katanya.

Antaranya beliau berkata, gagal mempamerkan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, serta tidak memaklumkan kemasukan ke perairan negara melalui radio atau faksimili seperti yang diwajibkan di bawah Seksyen 16(3) akta sama.

“Vesel berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Tekong turut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa melalui radio atau faksimili mengenai kemasukan ke perairan negara ini,” tambahnya.

Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri.

Jika sabit kesalahan, tekong boleh dikenakan denda sehingga RM6 juta, manakala setiap kru boleh didenda sehingga RM600,000.

Bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Bagi kesalahan imigresen, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM10,000, penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sehingga enam kali sebatan.

Antara barangan yang disita termasuk 200 kilogram ikan tuna, 300 liter diesel, peralatan menangkap ikan dan vesel itu sendiri dengan nilai anggaran keseluruhan mencecah RM2 juta.

Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen mereka untuk terus melindungi perairan negara daripada pencerobohan asing yang cuba mengaut hasil laut secara haram.

“Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan perairan negara dilindungi daripada pencerobohan vesel asing yang cuba mengaut hasil laut negara secara haram menerusi rondaan bagi memastikan undang-undang di perairan negara sentiasa dipatuhi,” tegasnya.

Orang ramai yang melihat kegiatan mencurigakan atau menghadapi kecemasan di laut digesa menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di 085-649111, serta Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 / 082-432016.

Anda Mungkin Berminat