LORONG PEKAN 2025: Pop-Up Patriotik Semarak Semangat Merdeka Di Alor Setar

ALOR SETAR: Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2025 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, Lorong Pekan Management bakal menganjurkan sebuah acara pop-up bertemakan patriotik yang dinamakan ‘LORONG PEKAN’ bermula 28 hingga 31 Ogos ini.

Bertempat di Lorong Malinja (Starwalk), Alor Setar, Kedah, acara itu akan berlangsung setiap malam dari pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam.

Penganjuran julung kali ini dilihat sebagai satu langkah berani ke arah pemikiran holistik yang menghimpunkan pelbagai sub-acara dalam satu program inklusif.

Ia bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme tetapi juga memperkukuh nilai kebersamaan dan identiti budaya masyarakat Malaysia.

Dengan sokongan penuh daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), acara itu dijangka menjadi model kolaborasi jangka panjang yang memberi manfaat kepada semua pemegang taruh.

Menurut Pengurus Acara, Aina Safiah Noorhaizat, objektif utama penganjuran adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Kedah khususnya anak muda.

“Penganjuran utama adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Kedah khususnya anak muda, sambil mengangkat keunikan budaya, seni dan warisan tempatan,” katanya.

Acara empat hari itu bakal menampilkan pelbagai pengisian menarik yang dirancang teliti agar selari dengan tema kebangsaan.

Antara yang bakal mencuri perhatian ialah persembahan qasidah oleh kumpulan Qasidah Al-Mawaddah, tazkirah ambang merdeka oleh pempengaruh dakwah Ustaz Aiman Nasir serta deklamasi puisi oleh Hamizun Syah dari Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

Turut memeriahkan acara ialah pertandingan pertunjukan fesyen busana kreatif Kedah, persembahan tarian tradisional pelbagai kaum, silat gayong Kedah yang diiringi muzik gendang silat serta monolog merdeka oleh penggiat teater Awang Mohamad Fiqri Haqimi.

Detik 31 Ogos akan disambut dengan gimik merdeka yang dijangka mengundang rasa bangga dan haru dalam kalangan pengunjung.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai juadah makanan dan barangan cenderamata tempatan di gerai jualan, menyaksikan pameran motosikal klasik Vespa, serta menyertai pertandingan mewarna Jalur Gemilang yang dikhususkan untuk kanak-kanak.

Lorong Pekan Management yang sebelum ini telah menganjurkan lebih 60 pop-up event di sekitar Alor Setar seperti di Pekan Rabu, Ukir Mall dan Souq al-Bukhary, yakin bahawa sambutan kali ini bakal melangkaui jangkaan dan menjadi acara ikonik tahunan yang dinanti-nantikan masyarakat setempat.

‘LORONG PEKAN’ bukan sekadar acara hiburan, tetapi sebuah medium perpaduan yang menyatukan masyarakat berbilang kaum dalam suasana harmoni, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat