PETALING JAYA: Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil menjelaskan dakwaan tular di media sosial kononnya pihaknya melantik syarikat bukan Islam sebagai ejen kutipan zakat melalui platform digital ZPay.
Dalam kenyataan media pada Jumaat, LZS berkata, ZPay merupakan aplikasi rasmi milik mereka yang dibangunkan khusus untuk memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat secara tanpa tunai, pantas, selamat dan teratur.
“Kemudahan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Zakat Selangor memperkukuh sistem kutipan yang lebih cekap, telus dan mesra pembayar,” katanya.
LZS menjelaskan bahawa mereka melantik ATX Distribution Sdn Bhd sebagai penyedia teknologi kerana kepakaran dalam bidang tersebut.
Namun, pihaknya menegaskan bahawa GKash, yang berfungsi sebagai gerbang pembayaran digital untuk memproses transaksi masa nyata, tidak mempunyai sebarang peranan atau hubungan kontrak sebagai ejen kutipan zakat bagi pihak mereka.
“Zakat Selangor ingin menegaskan bahawa tanggungjawab kutipan dan agihan zakat adalah sepenuhnya di bawah urusan kami bersama Penolong Amil yang dilantik secara rasmi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” ujarnya.
Segala transaksi zakat melalui ZPay diuruskan melalui akaun khusus yang patuh syariah serta dikawal selia mengikut prosedur kewangan ditetapkan.
LZS turut memberi jaminan bahawa jumlah zakat dibayar tidak akan dipotong oleh sebarang caj komisen atau kos tambahan.
“Sebagai tambahan, penggunaan penyedia perkhidmatan yang bukan Islam adalah diharuskan menurut prinsip fiqh muamalat di bawah konsep ijarah (sewaan perkhidmatan) dan tidak menjejaskan niat pembayar zakat atau kesahihan ibadah yang dilakukan,” tambahnya.
Pendirian ini turut disokong oleh keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Siri Kelima 2019, yang memutuskan bahawa pembayaran zakat melalui saluran digital seperti e-dompet dan kod QR adalah sah menurut hukum syarak.
Sehubungan itu, LZS berharap masyarakat memahami bahawa kutipan zakat melalui ZPay dilaksanakan dengan mematuhi prinsip syariah, sambil memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan dana zakat.








